Bagaimana anda menambat hati lelaki, terutama kekasih atau suami
sendiri? Manusia memang tidak mampu meneroka hati dan jiwa manusia. Namun anda
boleh belajar mengenal mereka supaya kebahagian dapat dinikmati bersama. Apa
sebenarnya yang harus anda lakukan untuk menambat hati lelaki?
Terima lelaki agar dia menerima anda
Mungkin tiada perkataan yang lebih sesuai untuk menyatakan ini selain
" Terimalah lelaki sebagai sediakala". Terimalah dia sebagai lelaki.
Yang penting untuk anda tahu ialah mengenai lelaki, dan bukan mengubah lelaki.
Jika anda mahu mengubah personaliti lelaki yang menjadi kekasih atau suami
anda, dia mungkin akan menjadi insan lain, yang mungkin tidak anda sukai dan
tidak menyukai anda.
Fahamilah lelaki agar dia memahami anda
Cuba memahami perangai sedia ada pada sesorang lelaki yang menyesuaikan
perangai itu dengan diri anda. Ianya adalah lebih baik dari cuba mengubahnya
dan beranggapan bahawa ianya tidak sesuai dengan anda. Asalkan perangai itu
tidak bertentangan dengan kehendak agama dan kesopanan budaya. Dengan cara itu
lelaki akan cuba memahami anda dan menyesuaikan dirinya dengan diri anda.
Berubah untuk menikmati perubahan
Sekiranya anda mahu mengubah perangai lelaki, malah perangai sesiapa
pun, anda tidak akan mampu berbuat demikian kerana insan itu sendirilah yang
akan mengubah perangainya jika dia mahu. Anda cuma boleh memujuk dan
mempengaruhinya agar berpihak kepada anda. Anda sendiri perlulah sanggup
berubah kepada perangai yang lebih baik untuk membolehkan seseorang lelaki
berubah memperbaiki dirinya.
Sanggup memberi untuk menerima
Di atas segala-galanya, apa yang penting untuk anda lakukan ialah
sanggup memberi lebih banyak berbanding apa yang anda terima daripada lelaki.
Dengan itu, anda mungkin akan menerima lebih banyak daripada yang sanggup anda
beri.
Percaya untuk dipercayai
Sekiranya anda tidak mempercayai lelaki, jangan anda mengharapkan
lelaki itu mempercayai anda. Hidup ini meminta pada yang ada, memujuk pada yang
sayang. Untuk membuat orang lain percaya kepada anda bukanlah perkara yang
mudah. Bagi menyebabkan orang lain tidak percaya pada anda, bukan lah payah.
Apabila lelaki sudah tidak percayakan anda, amat sukar pula untuk dia mengubah
pendiriannya.
Menangkan lelaki untuk menang
Mengenal lelaki bukanlah untuk mengalahkan lelaki. Dalam sebuah
perkahwinan, sepatutnya sama-sama menang dalam semua aspek kehidupan. Dalam satu
perkahwinan ada dua kuasa, pertama kuasa suami dan kedua kuasa isteri. Kuasa
suami adalah memulakan dan menyuarakan. Kuasa isteri pula adalah sama ada
bersetuju atau tidak. Sekiranya kedua-duanya menyalahgunakan kuasa, perkahwinan
itu akan menjadi porak-peranda.
Sifat negatif akan membuah kesan negatif
Ramai wanita yang mencabar dan celupar terhadap lelaki atau suami
sendiri. Ramai juga yang bersifat pendesak, terlalu banyak meminta, merendah-
rendahkan suami, membandingkan suaminya dengan lelaki lain dan memaki hamun
suaminya. Sekiranya anda bersifat demikian, walau bagaimana kenalpun anda
kepada suami anda, anda bukanlah seorang wanita yang bijak. Andalah yang
mungkin menjadi penyebab mengapa suami anda merasa tertekan, tidak selesa,
banyak berdiam diri, bermasam muka dan sebagainya lagi yang tidak menyenangkan
anda. Andalah yang sepatutnya berubah.
Bertanggung jawab dan menikmati kesan tanggung jawab
Sebenarnya tanggung jawab wanita terhadap suaminya tidak akan berubah
walaupun dunia ini makin maju. Begitu juga dengan tanggung jawab suami kepada
isteri. Selagi anda menjalankan tanggung jawab anda dengan sempurna sebagaimana
yang digariskan oleh agama, anda tidak perlu risau apa pun.
Kritikan akan membuahkan kritikan
Kritikan merbahaya kerana ia menjadikan lelaki defensif dan sedaya
upaya ingin mempertahankan dirinya. Ia juga bahaya kerana melukakan nilai diri
lelaki. Menjejaskan rasa kepentingan diri. Dan menyebabkan lelaki merasa kecewa
kepada anda dan mungkin akan mengkriti anda pula.
Beri kepada lelaki apa yang dia mahu
Dia akan melakukan apa saja untuk anda dan memberi apa yang anda mahu.
Ada dua perkara besar yang dimahukan oleh lelaki (i) kehendak seks, dan (ii)
kehendak untuk mejadi penting. Setiap orang dewasa mahukan kesihatan, makan,
tidur, wang, kepuasan seks, anak-anak yang terjaga, rasa dipentingkan dan hidup
yang bahagia dunia dan akhirat. Berilah lelaki apa yang dia mahu dan apa yang
boleh anda berikan.
Tunjuk minat tulin terhadap lelaki
Dia akan menujukkan minat terhadap anda. Dengar apa yang ingin
dikatakannya, walaupun ianya tentang dirinya sendiri, juga mengenai kerjanya
ataupun kesukaannya. Lebih berminat anda padanya, maka lebih berminatlah dia
pada anda.
Senyum itu tanda kasih yang tak perlu dibayar
Anda tidak perlu membayar apa-apa untuk senyum pada lelaki yang anda
kasihi. Dia akan senyum kembali pada anda. Betapa nikmatnya senyuman yang
dilemparkan pada anda itu, begitulah juga nikmat yang dirasanya apabila anda
senyum padanya. Senyum menyebabkan lelaki suka pada anda.
Panggillah lelaki dengan panggilan manja
Sebagaimana anda mahukan lelaki memanggil anda dengan nama yang baik
dan nada lembut, begitu pula lelaki. Dia mahukan anda memanggilnya dengan
lembut, merdu dan manja, sesuai dengan sifat anda sebagai wanita.
Hormati dia sebagai lelaki
Dia akan menghormati anda sebagai wanita. Jika anda berusaha untuk
memahami sikapnya, dan bertolak ansur dengannya, dia juga akan melakukan
perkara yang sama terhadap anda. Wanita patut menghormati lelaki yang menjadi
suaminya, dan memberi penghormatan tidak akan merendahkan kehormatan diri
sendiri, malah menjadi diri lebih terhormat.
Dunia Lelaki Yang Berbeza Dari
Wanita
Seorang lelaki tidak sama dengan seorang wanita. Lelaki juga tidak akan
menjadi wanita, dan begitulah sebaliknya. Ramai wanita menganggap lelaki sukar
difahami, begitu jugalah pendapat lelaki. Berikut dinyatakan bebarapa sifat
lelaki secara umum agar anda mudah memahami mereka:
Hidup lelaki lebih mudah
Lelaki lebih mudah cara hidupnya berbanding dengan wanita. Kerana itu
lelaki sukar untuk memahami jika sesuatu perkara itu disampaikan dalam bentuk
kiasan oleh wanita. Wanita suka berkias dan berharap lelaki faham. Tetapi,
lelaki lebih suka jika ianya dijelaskan dengan bahasa yang mudah, dan secara
berterus-terang. Sekiranya wanita tidak jelas mengenai sesuatu perkara,
tanyalah secara terbuka kepada lelaki.
Bahasa lelaki adalah berlainan
Lelaki bercakap dengan bahasa yang berlainan. Ini yang menyebabkan
lelaki dan wanita sukar berkomunikasi antara satu sama lain. Apa yang lahir dari
kata-katanya jika dia bercakap dengan wanita, adalah berbeza daripada apa yang
dimaksudkan. Ini bukan bererti dia berbohong. Maka adalah lebih baik bagi
wanita untuk memahami lelaki dari apa yang dilakukan berbanding dari apa yang
dikatakan. Lelaki tidak pandai melahirkan rasa hatinya dalam bentuk kata-kata.
Lelaki suka membisu
Wanita berkebolehan untuk membicarakan sesuatu subjek yang sensitif dan
mendukacitakan sebagai salah satu cara berhadapan dengan realiti. Tetapi lelaki
lebih suka untuk menyembunyikan dan membisu.
Lelaki tidak kompleks
Jika terdapat semua tanda yang menunjukan bahawa seorang lelaki hanya
mahu wanita menjaganya, mengemas rumah, menyediakan makanan untuknya, wanita
harus percaya bahawa itulah yang lelaki tersebut mahu. Ini bukan bererti lelaki
berfikiran primitif, tetapi lelaki memang sedemikian. Wanita selalu menganggap
lelaki sebagai kompleks, tetapi sebenarnya kehendak lelaki adalah mudah.
Jangan paksa lelaki
Bila wanita mendesak lelaki mendedahkan perasaanya, mungkin wanita itu
akan mendedahkan sesuatu yang wanita itu tidak suka mendengarnya. Malah adalah
lebih baik jangan bertanya dan menyelidik sampai ke akar umbi. Malah apa yang
penting wanita itu perlu membaca bahasa badan lelaki, matanya, atau perubahan
mendadak dalam corak perlakuannya. Jika dia pada kebiasaannya suka membaca
tetapi tidak melakukannya, mungkin pada masa itu fikirannya sedang kacau.
Lelaki berahsia dengan lelaki lain
Tidak sebagaimana wanita yang lebih mudah untuk bercerita masalah yang
dihadapinya kepada wanita lain, harapan dan kebimbangan yang dirasainya dan
pelbagai cerita peribadi, adalah sukar bagi lelaki untuk menjadi mesra secara
verbal sedemikian rupa. Untuk melakukannya lelaki memerlukan kekuatan dan
keberanian yang maksima.
Lelaki pentingkan kejujuran
Sepertimana wanita, lelaki juga pentingkan kejujuran. Jika lelaki tahu
yang kekasihnya atau isterinya suka bercerita kepada wanita lain tentang
dirinya, besar kemungkinan lelaki itu tidak akan bercerita lagi secara mesra
mengenai hal-hal rahsia yang lainnya. Kejujuran adalah penting bagi lelaki.
Seorang suami mahu isterinya menyimpan rahsia-rahsia rumahtangganya.
Lelaki Perlu Keselesaan Perasaan
Wanita sering menganggap lelaki sukar difahami. Sebenarnya ini juga
anggapan lelaki pada wanita. Berikut dinyatakan beberapa sifat umum lelaki agar
kita lebih memahaminya.
Lelaki tidak suka dikritik
Jangan mengkritik lelaki, memainkan jika wanita itu bersedia untuk
bertikan lidah dengannya. Lelaki tidak begitu terbuka untuk menerima kritikan.
Mengkritik di belakangnya, contohnya kepada saudara atau rakannya, mungkin dapat
mengelakkan konfrantasi serta merta tetapi dia akan berasa marah juga apabila
perkara tersebut disampaikan kepadanya.
Cara baik mengkritik lelaki adalah dengan cara berjenaka dan lembut.
Cara lelaki mengkritik adalah berlainan dan ia jarang dilakukan oleh wanita.
Bila lelaki mahu mengkritik, masa dan keadaan dipilih dengan teliti. Bila
menegur, perbincangan itu ringkas, tidak emosi dan tepat.
Untuk mengkritik lelaki eloklah kiranya kritikan itu digabung dengan
sedikit pujian.
Lelaki juga mahukan sokongan
Bila lelaki menghadapi masalah dan mengadu pada wanita, wanita harus
memberitahu lelaki itu bahawa dia masih diperlukan. Lelaki mahukan keselesaan
perasaan dan sokongan serta kata-kata lunak seperti: "saya cintakan
abang.." atau "Tidak kira apa yang terjadi, saya tetap bersama
abang…"
Lelaki dan ego
Ramai lelaki menunjukkan egonya pada dua masa, pertama di dalam kerka
dan kedua di ranjang. Ini biasanya menyebabkan wanita menjadi bosan. Tetapi
sebaik-baiknya wanita patut mempertingkatkan ego suami atau kekasihnya.
Wanita yang menyemarakkan api cinta akan menikmati kehangatan api cinta
itu. Lelaki mahu wanita memberitahu bahawa sumbangannya diiktiraf dan dinilai.
Jika anda tidak menyatakan kepadanya, siapa lagi? Jika anda mempertingkatkan
ego lelaki, ia kan membuatkan lelaki merasa senang dan setiap orang
disekelilingnya akan mendapat faedah, terutamanya yang dicintainya.
Lelaki mesra tanpa beremosi
Antara perkara yang ada pada lelaki dan wanita ialah kehendak mutlak
untuk dikasihi dan mengasihi sebagai balasan. Intimasi emosional, bersatunya
jiwa bukan hanya jasad, adalah cara bagaimana kasih sayang itu lahir. Ianya
bukan satu proses sahaja.
Setiap manusia bergantung kepada intimasi emosional untuk seimbang dan
gembira, paling kurang ia perlu untuk meneruskan kehidupan. Tempat di mana
lelaki berbeza dari wanita ialah pada kebolehan lelaki untuk mesra dari segi
seks tanpa kemesraan emosi. Jalinan atau hubungan antara dua perkara ini, iaitu
kemesraan cinta berahi (seks) dan kemesraan emosi cinta kasih (emosi) tidak
penting pada ramai lelaki.
Ramai lelaki memberi keutamaan yang rendah pada kemesraan emosi. Lelaki
lambat mencapai kemesraan emosi berbanding dengan wanita. Lelaki lebih cepat
mencapai kemesraan seksual. Kemesraan emosi wujud apabila terdapat hubungan
yang rapat dan jujur antara suami isteri. Ia mungkin dianggap penting sebagai
hubungan seks yang lebih memuaskan. Tetapi jika tanpa emosi seks boleh
dilakukan juga oleh lelaki.
Melakukan seks tanpa kemesraan emosi boleh menyebabkan punca konflik
semulajadi antara lelaki dan wanita. Bila keperluan kemesraan emosi wanita
tidak dipenuhi samaada sebelum atau selepas kemesraan seksual, kekecewaan akan
melanda wanita. Tetapi tidak lelaki.
Lelaki suka menyelerak
Lelaki bersifat suka menyelerak barang-barang dan berharap isteri akan
mengemaskannya. Kadangkala lelaki mahu isterinya bersifat sebagai ibunya.
Walaupun pada kebanyakan ketika lelaki adalah pembuat yang memulai atau
meneruskan sesuatu, adakalanya lelaki mahu dijaga oleh seorang 'ibu'. Dia menunjukkan
kemahuannya itu secara tak langsung dengan menyelerak.
Lelaki diumpan menerusi matanya
Mata lelaki dianggap pembangkit ghairah paling utama. Kemudian itu
barulah sentuhan, hiduan dan pemikiran rasional memainkan peranan. Untuk
menghangatkan hubungan, wanita perlu menghiasi dirinya dengan keindahan. Ini
boleh membangkitkan keghairahan lelaki. Lelaki cenderung untuk mencari
keghairahan penglihatan, sedangkan wanita bangkit keghairahannya dari bacaan
dan kesan terhadap imaginasinya.
Pujuklah Ia Walaupun Terpaksa
Lelaki tidak meminati wanita? Itu adalah satu pembohongan. Tidak ada
lelaki tidak berminat atau tertarik untuk mengenali mana-mana wanita. Lelaki
dijadikan sebagai makhluk yang akan memulakan sesuatu. Berbanding dengan wanita
yang dijadikan dengan perasaan malu yang lebih menebal daripada lelaki.
Terdapat pelbagai cara lelaki untuk mengenal wanita. Melalui cara itu
lelaki akan lebih mengenali wanita dan memahami kehendak wanita. Melalui
pemerhatian yang dilakukannya, lelaki mengenali wanita sebagai seorang yang:
1.Mudah tersinggung jika hatinya terusik terutama yang membakitkan
perasaan
2.Mudah jemu dan perlukan suasana yang berlainan untuk menghilangkan
rasa jemu dan bosan.
3.Amat memerlukan cinta kerana memandang lelaki sebagai orang yang
dicintainya dan cuba menyesuaikan dirinya dengan lelaki yang dicintainya.
4.Suka dipuji walaupun dia tahu bahawa lelaki itu berdusta asalkan
pujian itu tidak menyakiti dirinya malah mendatangkan kegembiraan kepada
dirinya.
5.Tidak percaya kepada lelaki walaupun kekasih atau suaminya begitu
menyayanginya. Keadaan ini disebabkan perasaan gelisah dan sangsi lebih banyak
dirasakan oleh wanita.
6.Berhati sentimental kerana naluri dan perasaan wanita yang penuh
dengan kelembutan, sensitif, perasa dan lebih suka terpengaruh oleh suara
hatinya berbanding oleh akalnya.
7.Suka memaksa lelaki kerana dia menganggap lelaki adalah insan yang
dapat melenyapka rasa bosan dan jemu. Dan sebab itilah wanita memaksa lelaki
agar memujuk rayu dan memanjakannya. Walaupun begitu, wanita tidak sanggup
kejam terhadap lelaki malah lebih rela berlaku kejam terhadap dirinya
sendiri.
8.Cemburu. Ini kerana wanita lebih cenderung mempertahankan harga diri,
kepentingan peribadi, kepentingan keluarga dan anak-anak.
9.Bersikap penggoda keran awanita dikatakan sentiasa memikirkan cara
untuk memenagi hati lelaki dengan menggunakan daya tarikan tubuh dan wajahnya
bagi tujuan tersebut. Sebab itu wanita suka memperagakan pakaian yang seksi
ditempat umum.
Perkara-perkara yang dinyatakan di atas bukanlah tuduhan terhadap
wanita atau untuk merendah-rendahkan mertabat wanita. Dengan mengetahui perkara
ini, lelaki dapat mengetahui dengan lebih mendalam mengenai sifat-sifat sebenar
wanita. Bagi wanita pula, kenalpasti kelebihan dan kelemahan diri adalah
penting sebagai persiapan menghadapi apa saja kemungkinan yang bakal dicetuskan
oleh lelaki.
Wanita Dari Pandangan Mata Lelaki
Ada ramai wanita di dalam dunia ini. Tetapi adakah semua wanita itu
mempu menarik minat lelaki untuk mengenalinya. Kadang-kala seorang lelaki hanya
mahu menduga hati seorang wanita sahaja bila mendekati mereka. Tetapi tahukah
anda wanita yang bagaimana boleh menarik minat lelaki untuk mendekati mereka?
Ada banyak faktor yang boleh menyebabkan lelaki mendekati seseorang wanita.
1.Personaliti seorang wanita itu penting. Dengan personaliti yang
meyakinkan seseorang lelaki boleh terpikat bila memandangnya. Mereka juga akan
berasa lebih yakin untuk mendekati wanita tersebut.
2.Lelaki terkenal dengan mata jalanannya. Ada juga lelaki yang suka
memerhatikan wanita yang seksi, apatah lagi jika wanita itu memakai pakaian
yang menghairahkan.
3.Penampilan, gaya berjalan dan cara pergaulan wanita juga
kadang-kadang membuat seorang lelaki terpikat. Ada kalanya salah satu daripada
faktor itulah yang buat lelaki terlalu ingin mendekati seseorang wanita.
4.Ada juga lelaki yang mementingkan kesopanan. Lelaki yang lebih
sukakan wanita sebegini selalunya lelaki yang tidak suka berfoya-foya. Mereka
lebih suka mendampingi wanita yang tidak akan memalukan mereka.
5.Memang tidak semua lelaki mementingkan wajah. Tetapi ada juga lelaki
yang mudah tertarik pada wanita yang cantik, ayu dan anggun. Ada ketikanya
sehingga membuatkan mereka menoleh untuk kali kedua bila memandangnya.
Walaubagaimanapun tidak semua lelaki yang mementingkan fizikal
seseorang wanita, ada juga lelaki yang lebih mementingkan faktor dalam diri
seseorang wanita.