Suatu
hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata,
"Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat."
Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika kamu mahu
menerima lima
syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu melakukan maksiat."
Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya. "Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"
Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu
bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia
mengernyitkan kening seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah
semua yang ada di bumi ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin
Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya,
sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat,
jangan tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah
mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah,
apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu
melanggar segala larangan-Nya?" "Ya! Anda benar." kata lelaki
itu.
Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga. Ibrahim menjawab,
"Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak
dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata,
"Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat
kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih
berkeinginan melakukan maksiat?" kata Ibrahim.
Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat. Ibrahim
melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah
kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan
amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera
tersedar, "Wahai Ibrahim , mana mungkin malaikat maut akan memenuhi
permintaanku?" "Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu
tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana
engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?"
"Baiklah, apa syarat
yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai Abdullah kalau malaikat
Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan
engkau ikut bersamanya." Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia
berkata, "Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku
menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air
matanya bercucuran. "Mulai saat ini akut bertaubat kepada Allah."
katanya sambil terisak-isak.
No comments:
Post a Comment