Iklaneka

Wednesday, 15 February 2012

Cantik Bukan Teras Untuk Dicintai


Jika seorang lelaki mengatakan dia mencintai anda SEMATA-MATA KERANA KECANTIKAN ANDA, awas, anda mungkin akan ditinggalkan apabila sudah tidak cantik lagi. Jika seorang lelaki mengatakan dia sanggup berkorban apa saja demi cintanya kepada anda dan apabila anda bertanya mengapa, dia memberitahu kerana, “AKU TERPESONA DENGAN WAJAHMU,” awas anda akan ditinggalkan apabila wajah anda tidak lagi mempesona. 

Lelaki yang terlalu memuji anda sebagai ‘bidadari’ bukan calon terbaik untuk dijadikan suami. Kalau dia terpukau dengan kecantikan anda, tentu ramai lagi yang lebih cantik daripada anda di luar sana. Kalau hari ini dia boleh terpukau hanya kerana kecantikan anda, tidak mustahil dia akan terpukau dengan kecantikan yang mengatasi anda suatu masa kelak.

Jatuh cinta disebabkan cantik itu penting, tapi jika terlalu dipentingkan anda bakal menjalani kehidupan yang tidak menentu pada usia-usia mendatang. Ingat, lelaki sentiasa ‘muda’, jika dia menjadi ghairah oleh bibir yang merekah sampai bila-bila pun dia akan ghairah dengan bibir yang begitu. Tiada istilah pencen meskipun dia sudah tidak berupaya untuk berdiri tegak. Dia mungkin tidak berbuat lantaran ‘tidak boleh lagi’ tapi hati di dalam tetap muda dan berbunga-bunga. 

Percayakah anda? Anda ‘patut’ percaya, sebab lelaki yang hanya mementingkan kecantikan sebenarnya ‘buaya’ yang tidak mahu menilai keseluruhan anda. Dia menyempitkan penilaiannya hanya pada muka dan apabila muka itu sudah tidak menepati cita rasanya, perasaannya turut berubah.

Jika anda memiliki wajah yang cantik, usah terlalu gembira sebab mungkin anda akan bertemu dengan lelaki yang salah; jika anda hodoh jangan pula bersusah hati sebab lelaki sejati adalah mereka yang menilai wanita secara tersendiri. 

Cinta yang dibibitkan oleh kecantikan dan ketampanan semata biasanya tidak kekal hingga ke hujung. Buktinya banyak. Jika kita hendak mengambil artis atau model sebagai contoh (maaf para artis dan model, sekadar contoh), kita akan dapati mereka adalah golongan cantik dan hansem tapi kerap mengalami kebobrokan hati. Jika kita mendengar artis itu bercerai, model itu ada skandal, itu bukanlah memeranjatkan sangat. Namun, kita tentulah tidak menafikan ada yang amat loving dan kekal ke akhir hayat, tapi jumlah yang bermasalah sentiasa mengatasi.

Kecantikan dan ketampanan adalah tiket kebahagiaan tetapi tiket itu tidak valid sepanjang zaman. Ada ketikanya tiket itu akan sampai ke tempoh tamat, hanya mereka yang tidak terlalu meletakkan kecantikan sebagai tiket percintaan akan kekal, selain dan selebihnya akan mengorak langkah. Pergi.

ALLAH menjanjikan setiap lelaki beriman dengan bidadari yang amat cantik hingga tidak tergambar oleh akal. Mengapa ALLAH janjikan bidadari yang amat cantik? Sebab di situlah makna kecantikan yang sebenar. Kecantikan di dunia adalah kenderaan untuk menuju ke situ. 

Maka itulah, kecantikan dan ketampanan di dunia ini tidak boleh dijadikan teras untuk mencintai. Bagaimana cantik pun akan pudar, bagaimana tampan pun akan hilang. Kecantikan atau ketampanan bukan teras keintiman. Ia alat untuk menikmati sebahagian kehidupan yang terbaik, namun ia bukan yang terbaik. Wajah yang indah dipandang akan menjadi cuka yang memasamkan kehidupan jika yang lain-lain tidak cantik. Kopi pahit jika berdiri sendiri, tapi kopi menjadi enak apabila digandingkan dengan gula dan susu.

Anda cantik, maka anda boleh berdiri sendiri tapi tanpa keperibadian dan iman yang padu anda ibarat kopi tanpa gandingan gula dan susu. Selama mana boleh bertahan? Sebaik-baik kopi pahit dinilai dari sudut kepahitannya, tapi apabila ada kopi bersusu dan bergula, ia sentiasa lebih disukai dan akan terus disukai. 

Awas jika anda teramat cantik dan digilai ramai sebab kemungkinan untuk anda bertemu lelaki yang salah jauh lebih besar. Bukan untuk menakutkan tapi cubalah fikirkan.

Mingguan Wanita
Motivasi oleh: DR. HM TUAH ISKANDAR al-Haj

Siri 185 - Cantik bukan teras untuk dicintai


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...