Iklaneka

Thursday, 27 September 2012

Petua Membelai Cinta


Oleh Ustaz Ismail Kamus 

Nota: Petua Membelai Cinta yang disampaikan oleh Us. Ismail Kamus ini begitu popular dan banyak dijadikan rujukan dan motivasi kehidupan rumahtangga. 

INDAHNYA cinta jika bersulam keikhlasan. Moleknya cinta andai setia yang dipertaruhkan dan untungnya bercinta jika berkekalan sampai bila-bila. Namun panas yang diharapkan sampai ke petang, siapa sangka hujan turun ditengah hari. Puas sudah membajai cinta, dibumbui dengan kasih dan sayang, membelai dan memupuknya dengan penuh tanggungjawab namun pasangan yang bertakhta di sanubari tetap berubah hati. Terlalu sukarkah mencintai isteri atau sememangnya si suami tidak pernah mensyukuri? 

Datuk Ustaz Ismail Kamus membincangkan: "Perempuan umpama cermin, mesti cermat dan halus bila berhadapan dengan mereka. Lebih-lebih yang bergelar isteri. Sensitif, cepat kecil hati, merajuk dan minta dipujuk memang sifat wanita. Sebenarnya bukan susah melayan isteri. Seorang suami yang pandai mengambil hati, memujuk rayu jika diperlukan, bercakap lemah lembut dan rajin bergurau senda, ia sudah cukup dan memadai. 

Perhatikan hasilnya, si isteri akan sanggup bersusah payah menyediakan makan dan minum di samping menguruskan rumah tangga, malah sanggup pula ke hulu ke hilir menambah pendapatan suami. Walaupun hidup dalam serba kekurangan, insya Allah hidup pasangan begini akan rukun damai sampai bila-bila. Bagaimanapun hal ini merujuk kepada wanita yang melimpah ruah dengan kasih dan sayang. Mengutamakan rumah tangga dan berusaha menceriakannya walaupun si suami bukan berpangkat besar atau mempunyai wang yang banyak. 

Apabila ditujukan kepada wanita yang memegang prinsip, ada wang abang sayang, tak ada duit abang melayang lain pula penyudahnya. Jika yang dicintai itu adalah wang, yang disayang itu adalah kemewahan, memang rumah tangga tidak bahagia dan aman. Kerana yang diburu adalah wang dan harta, maka bila ada kedua-duanya di depan mata, si isteri akan berasa nikmat kebahagiaan namun bila semuanya melayang, wanita begini akan berasa terlalu kecewa dan bersusah hati, ujarnya. 

Beliau menambah, "Bagaimanapun kalau dikatakan, peranan wang membeli kasih dan sayang, ia memang berkait antara satu dengan yang lain. Namun wang itu sekadar dijadikan sebagai alat dan bukan matlamat. Wang berperanan menyenangkan pasangan membina rumah tangga. Mendapatkan sebuah rumah untuk keluarga, memiliki kenderaan dan apabila berlaku sebarang bencana, wang dapat merungkai masalah yang melingkari. Jika mengandaikan wang untuk membeli cinta dan mengeratkan kasih dan sayang, tandanya kita sudah tersilap menafsir. Sepatutnya utamakan nilai kasih dan sayang yang diberikan oleh suami atau isteri, justeru andai suatu hari kita ditimpa musibah dan hidup dalam serba kekurangan, tidaklah cepat melatah. Cuba perhatikan mereka yang tinggal di kampung. Ada pasangan yang hidup melarat dan menderita kerana tidak mempunyai wang yang banyak, namun ikatan kekeluargaan erat dan sendat dengan kasih dan sayang," jelasnya. Beliau tidak menafikan, wanita sekarang lebih ramai yang celik mata dan sedar tentang perlunya membelai cinta sampai ke tua, sedangkan lelaki asal ada orang yang menguruskan rumah tangga sudah memadai. Golongan begini, malas hendak memupuk atau membajainya walaupun mereka mampu melakukan. 

Wanita ketara sudah celik mata. Ini dapat diperhatikan dalam ceramah atau syarahan. Mereka lebih banyak jika dibandingkan dengan kaum Adam. Sekiranya intipati ceramah mengenai pasangan, pihak si isteri akan mudah terima dan berusaha berubah apatah lagi jika kena dengan cara dan pendekatan yang betul. Sebaliknya si lelaki yang turut mendengar tetapi kurang menghayati. Jika terima pun dengan perasaan sombong dan egonya dan memang sukar mengubah kesilapan. 

WANITA - TULANG RUSUK YANG BENGKOK 

Walaupun hakikatnya bahtera rumah tangga itu sepatutnya dikemudikan oleh si suami namun era kini menyaksikan lebih banyak wanita yang lebih sensitif mengekalkan kerukunan. Maknanya wanitalah yang lebih banyak bersabar, menelan pahit maung kekurangan pendapatan atau menghadapi kerenah suami yang kadang kala membosankan. Wanita sepatutnya berbangga dengan kejayaan ini walaupun asalnya daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok. 

Nabi bersabda, wanita itu dicipta daripada tulang rusuk kiri lelaki yang bengkok, maknanya jika dibiarkan sikapnya yang tidak elok, maka begitulah ia kekal selama-lamanya. Lantaran itu andai si suami ingin memberi nasihat, hendaklah secara psikologi dan lemah lembut sehingga yang bengkok itu akan lurus. Sebaliknya jika menggunakan kekerasan, maka tulang yang bengkok itu akan mudah patah atau pecah. Misalnya jika isteri pemarah, membebel dan cakap banyak, si suami anggap sahaja ia cubaan yang amat kecil. Allah berfirman, "Apa yang kamu tidak suka, itu adalah yang terbaik untuk kamu." Namun dengan perkembangan hari ini, nampaknya dunia sudah terbalik, si lelaki pula nampak gayanya banyak yang bengkok, selarnya. 

CINTA DAHULU SEBELUM KAHWIN? 

Memang ramai yang membincangkan dua perkara ini sama ada cinta dahulu sebelum berkahwin atau berkahwin dahulu baru bercinta. Ada orang bercinta lama, selepas kahwin berasa jemu pula. Mulanya pasangan masing-masing buat perangai. Ada pula sarankan, lepas kahwin baru bercinta, mereka dakwa pula lepas kahwin baru pecah tembelang pasangan masing-masing. Maknanya, tidak ada kaedah khusus, ia bergantung kepada jodoh masing-masing, dedahnya. 

Beliau menambah, "Contohnya pasangan orang tua dahulu. Masing-masing tidak kenal tetapi keluarga aturkan perkahwinan. Lepas kahwin kita lihat mereka kekal sampai berpuluh-puluh tahun dan orang tua-tua dakwa cara begitu lebih baik. Sebenarnya itu bukan formula tetapi kebetulan. Maklumlah tinggal di kampung, pergaulan bukanlah seluas atau semoden golongan yang tinggal di bandar. Jika berlaku pergaduhan, si suami tidak sampai hati menceraikan isteri, begitu juga si isteri jika minta cerai pun ke mana diri hendak dibawa?" soalnya. 

Sambungnya lagi, kedamaian hidup berumah tangga mesti dicatur sejak diawal perkenalan. "Mesti diselidik latar belakang pasangan kala peringkat pemilihan pasangan. Sekiranya pihak lelaki atau wanita mengikut kriteria yang dianjurkan oleh Islam, insya Allah akan ada kerukunan dalam perkahwinan. Namun jangan tersilap memilih, konon berkenan pasangan yang kuat agamanya. Kita hendaklah memandang dengan pandangan yang luas, bukan setakat sembahyang, puasa atau berzakat sahaja yang patut diambil kira. Antaranya hendaklah menjurus kepada nilai peribadi seseorang. Misalnya kesanggupan penerimaan kita kepada kerenah, gelagat atau tingkah laku pasangan. Kadang kala perangai lelaki membosankan dan tidak kurang ada yang menyejukkan, jika kita terima daripada awal maka redhalah sehingga akhirnya, kerana itulah suami atau isteri kita yang sebenar-benarnya. 

LEPAS KAHWIN TERBONGKAR RAHSIA 

Ditanya bagaimana mahu membelai cinta seandainya selepas berkahwin baru terbongkar rahsia keburukan pasangan, beliau mengulas. Memang sukar menelah kebaikan individu meskipun seseorang itu taat kepada ibadatnya. Pernah suatu ketika seorang lelaki menemui Saidina Omar dan berkata, bahawa dia telah memilih seorang lelaki untuk menjadi saksi. Lantas Saidina Omar bertanya, "Apakah engkau kenal lelaki itu?" Pemuda itu menjawab, "Tidak ya amirul mukmimin." Saidina Omar bertanya lagi. "Apakah engkau pernah bermusafir dengannya?" Orang itu jawab, "Tidak pernah," Bertanya lagi Saidina Omar, "Apakah engkau pernah berjiran dengannya? Orang itu menjawab,'Tidak pernah.' Lantas ditanya Omar lagi, "Macam mana engkau kenal dia? Dijawab si pemuda. Saya selalu tengok dia sembahyang maka yakinlah dia memang baik.' Omar berkata, “Engkau pergi dan selidiki lagi kerana engkau sebenarnya belum betul kenal kepadanya." Daripada kisah yang diriwayatkan maknanya, sekadar tengok seseorang sembahyang, berulang alik ke masjid atau membaca al-Quran belum bererti kita tahu perangai yang sebenar. "Seeloknya ajak dia bermusafir, baru tahu kedekut atau tidak. Berjiran dengannya, baru tahu perangai peribadi, dan jika berniaga bersama-samanya baru tahu amanah atau sebaliknya diri seseorang. Jika sudah kenal hati budinya barulah boleh dia dijadikan kawan atau saksi. Begitu juga apabila mencari pasangan, selidik dahulu latar belakang dan nilai peribadinya. Caranya dengan menghantar wakil atau orang tengah yang boleh diharapkan," sarannya. 

Namun tidak dinafikan, apabila suami berubah sikap misalnya tidak lagi mesra seperti dahulu, tidak mahu bergurau senda apatah lagi memupuk kasih dan sayang si isteri akan makan hati dan menderita. Namun jangan sesekali dibiarkan sehingga meresap ke dalam hati dan perasaan yang akhirnya menjadi kebiasaan. Apabila suami buat perangai, cepat-cepat ditegur. Supaya dia segera sedar yang perbuatannya itu salah. Jika isteri terlalu sabar dan redha dibimbangi akan meresap ke dalam hati dan menjadi kesedapan kepadanya. Memang kenyataannya apabila menegur atau melembutkan hati suami, mereka akan lebih keras dan kasar. Gelagat perubahan ini lebih ketara apabila si suami sudah mula senang sedikit. Balik lewat malam, bersenang-senang dan makan-makan dengan teman-teman atau pergi berpoya-poya. Sebab itu dikatakan orang, wang sahaja membawa kebahagiaan tetapi mengheret kepada kecelakaan. "Cara untuk mengatasi masalah suami yang berubah hati, si isteri tidak boleh membentak. Kerana lelaki yang berperangai begini, hatinya sudah keras. Si isteri mesti menggunakan pendekatan dengan cara yang paling lembut sehingga mereka sedar. 

"Tidak dinafikan apabila si isteri berlembut, perangai suami semakin menjadi-jadi. Bagaimanapun cuba kita fikirkan, kalau membentak akan timbul pula permusuhan yang berpanjangan. Silap hari bulan, si suami memukul atau mendera si isteri. Diam isteri bukan bererti redha dan bersetuju dengan perangainya cuma sekasar mana pun lelaki, namun jauh disudut hati pasti mempunyai belas. Kasihan dengan si isteri yang cukup tenang, sabar dengan perangainya yang buruk," ujarnya. 

Tambahnya lagi, "Ada masanya suami mesti disentak dengan perkara-perkara yang tidak dijangka. Misalnya seorang isteri yang sebelum ini banyak cakap tiba-tiba mogok. Lepas masak diam, lepas makan diam, hendak tidur pun diam, maknanya perangainya berubah menjadi pendiam. Mungkin dengan cara itu dia mampu meluahkan perasaannya daripada marah tidak tentu pasal kemudian dicop suami, dia derhaka. "Seperti kisah seorang pemuda yang menyatakan hasrat mahu berkahwin tetapi dihalang oleh emaknya. Jadi dia mogok, kalau melawan, bimbang menderhaka kepada orang tua dan dia takut masuk ke dalam api neraka. Lantas dia diam sahaja sepanjang masa. Tidak makan, tidak minum, tidak tidur, sembahyang sahaja yang dilakukan. Lama-kelamaan ibunya bertanya, “Engkau sakit ke, asyik diam aja." Si anak menggelengkan kepala. Oleh sebab emak sayangkan anak, lantas disuruhnya si anak berkahwin. Barulah si anak bersemangat dan bahagia. Dalam kes ini si anak terselamat, tidak menderhaka kepada ibunya dan dapat pula berkahwin," ceritanya. 

TEGUR CARA BERHIKMAH 

Ismail Kamus menambah, jika sukar atau tidak sampai hati menegur suami yang buat perangai, gunakan orang tengah. "Memang susah mencari yang boleh dipercayai tetapi itulah cabaran yang mesti dihadapi. Bagaimanapun cara penyampaian orang tengah itu biar betul dan kena caranya sehingga suami tidak menyalahkan si isteri. "Selain memberi nasihat, isteri hendaklah mohon kepada Allah dan bermunajat kepada-Nya tanpa jemu. Di samping itu bacalah surah Ali-Imran, ayat 83 yang maksudnya: 

"Apakah selain daripada agama Allah mereka cari, dan baginya, menyerahlah sesiapa yang di langit dan yang di bumi, secara sukarela dan terpaksa dan kepadanya jua mereka dikembalikan." 

"Ayat ini hendaklah dibaca sebanyak 1,000 kali sehari. Apabila hendak digunakan baca tiga kali dan tiup kepada orang yang berkenaan atau ditiupkan ke dalam air untuk diminum oleh orang tersebut. Mudah-mudahan, berkat doa dan air itu akan lembut hatinya." Menjawab persoalan, bagaimana membelai cinta jika si suami asyik panas baran beliau menjelaskan. Apabila suami baran, isteri kena sabar dan redha kerana itulah suami kita. Orang yang baran sebenarnya ada masalah. Jiwanya sakit tenat dan perlu diubati. Perhatikan di mana kelemahan suami dan cari punca kenapa dia marah. Kemudian kita cari jalan supaya dia tidak marah. Umpamanya kalau isteri lambat masak, suami akan marah, jadi si isteri hendaklah menyegerakan memasak. Ataupun setiap kali balik kerumah, suami mesti hendak minum, jadi cari jalan cepat-cepat sediakan minuman. Ertinya kita hendaklah menutup segala punca kemarahan suami dan lama-kelamaan penyakitnya akan reda. 

Kalau dia yang menyalakan api kemarahan, isteri hendaklah mendiam diri. Jangan sesekali marah kerana marah itu bukan milik kita tetapi haknya. Jika kita tentang kemarahannya, ia akan lebih cepat terbakar atau merebak. Lagipun api bukan lawannya api sebaliknya hendaklah disimbah dengan air supaya padam. "Untuk meredakan, amalkan surah Toha ayat satu hingga enam dan baca sebanyak 
1,000 kali. Tiup kepada ubun-ubun atau mukanya sehingga kepusat sebanyak tiga kali. Insya-Allah akan lembut hatinya. Antara maksudnya, 

"Tha, Ha, (Hai manusia), tiada Kami turunkan al-Quran ini supaya engkau mendapat celaka. Melainkan peringatan bagi orang yang takut (kepada Tuhan). Wahyu yang diturunkan dari Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi. Tuhan yang Pemurah berkuasa di atas singgahsana. KepunyaanNya apa yang ada dilangit, apa yang ada di bumi, apa yang ada di antara kedua-duanya dan apa yang ada di bawah tanah." 

Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat menegur sesiapa sahaja yang masih mengabaikan rumah tangga sebaliknya hanya mahu berseronok dan berserakah, hendaklah segera bertaubat. Nabi bersabda, Barang siapa yang telah melampaui 40 tahun namun kebaikannya tidak mengatasi kejahatan hendaklah dia bersiap sedia untuk masuk api neraka." 

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...