Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan
mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa
dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk
bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur
untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa
mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang
sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."
" Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang
harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada
waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa
terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. " Wahai anak muda,
mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu
hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan
wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan
muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.
Sambung pemuda itu lagi, " Golongan yang kedua,
aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang
lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah
mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan
guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka itulah golongan
yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat
merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka
sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"
Pemuda itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan
seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku
lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak
daripada perutnya itu." " Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta
yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.
" Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya
bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu,
wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu, " Wahai pemuda, itulah golongan
manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya
Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu
bapanya."
" Golongan kelima, ku lihat ada pula mayat yang
kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar
segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. " Anak muda, mereka
itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka
suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari.
Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak
bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda,"
jelas ahli ibadah tersebut.
" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat,
sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali
semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air
hitam yang amat busuk baunya," " Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan
harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.
" Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku
lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa
demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah
tersebut, " Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan
mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan
yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu
hayatnya mahupun sesudah matinya."
Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang
dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas
setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua'lam..
credit to : http://www.al-munir.edu.my/kisah_teladan.html
No comments:
Post a Comment