PUASA adalah amalan yang
dituntut sepanjang Rejab. Sesiapa yang berpuasa sepanjang bulan atau beberapa
hari dalam Rejab, nescaya akan memperoleh ganjaran berlipat ganda daripada
Allah.
Kelebihan ini adalah satu
hakikat dan perlu diyakini umat Islam yang mengaku beriman kepada-Nya.
Sesungguhnya, balasan nikmat
dan ganjaran itu adalah bukti sayang serta kasih Allah kepada hamba yang
benar-benar beriman kepada-Nya.
Ganjaran yang dikurniakan bukan
sekadar limpahan rezeki ketika hidup di dunia, malah dijanjikan balasan syurga
oleh Allah di akhirat kelak.
Banyak hadis menceritakan
kelebihan berpuasa pada bulan ini antaranya:
- Berpuasa sehari dalam Rejab diberi ganjaran syurga Firdaus (peringkat syura tertinggi).
- Puasa tiga hari menjadi benteng daripada seksaan api neraka.
- Puasa empat hari disembuhkan daripada bala dan penyakit.
- Puasa lima hari dibebaskan daripada azab kubur.
- Puasa enam hari bangkit dari kubur dengan muka bercahaya.
- Puasa tujuh hari ditutup tujuh pintu neraka.
- Puasa lapan hari dibukakan lapan pintu syurga.
- Puasa sembilan hari bila keluar dari kuburnya lalu menyebut ‘Lailahaillallah’
- Puasa 10 hari dijadikan baginya hamparan perhentian di Titian Sirat setiap satu batu jaraknya.
- Puasa 16 hari nescaya memperoleh nikmat melihat Allah dan orang pertama menziarahi Allah di dalam Syurga.
- Puasa 19 hari pada bulan Rejab dibina baginya sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Adam.
- Puasa 20 hari diampunkan segala dosanya yang lalu.
Selain hadis, kelebihan
berpuasa pada bulan ini diakui kalangan sahabat. Umpamanya, Saidina Ali,
menantu dan sepupu Rasulullah saw pernah berkata : “Puasa 13 hari Rejab seperti
berpuasa 3,000 tahun. dan berpuasa 14 hari Rejab seperti berpuasa sepuluh ribu
tahun.” Manakala berpuasa 15 hari Rejab seperti berpuasa seratus ribu tahun.
Bayangkan betapa banyak ganjaran dan kelebihan yang diperoleh sesiapa yang
berpuasa di bulan ini.
Usia umat mutakhir ini agak
terhad, namun kelebihan yang diperoleh daripada puasa Rejab seumpama mereka
hidup ribuan tahun. Inilah antara kelebihan umat akhir zaman berbanding umat
terdulu.
Sesungguhnya amat rugi bagi
sesiapa yang mengetahui kelebihannya tetapi tidak pernah mengambil iktibar
(pengajaran) apatah lagi beramal dan beriman dengan saranan Tuhan serta
Rasul-Nya.
Bagi sesiapa yang tidak mampu
berpuasa disebabkan takut mendatangkan kemudaratan pada diri dan kesihatan,
disarankan banyak melakukan amalan bersedekah.
Amalan itu diumpamakan sebagai
gantian ibadah puasa yang tidak dapat dilakukan sepanjang Rejab.
Hal ini bertepatan dengan hadis
Rasulullah saw yang bermaksud :“Orang yang lemah daripada berpuasa pada bulan
Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti.”
No comments:
Post a Comment