Iklaneka

Saturday, 17 December 2011

Cerita Di Alam Sana

        Dalam kegelapan aku meredah sebuah alam yang asing dan tidak pernah aku jejaki sebelum ini. Langkah ku atur dengan penuh berhati-hati kerana kehitaman alam yang pekat ini menyukarkan penglihatanku dan yang paling aku takutkan adalah kebahayaan yang sedia menanti aku sepanjang menyusuri perjalanan ini.

        Nun jauh disana, suatu ruang cahaya yang bersinar terang. Aku menghayun kakiku menuju kearahnya. Semakin aku dengan ruang cahaya tersebut, semakin terasa debaran jantungku. Entah mengapa aku merasakan seolah-olah aku kini berada di alam yang hanya dapat aku dengar dan baca sebelum ini iaitu alam selepas kematian (hari kebangkitan). Aku menerobos ke ruang cahaya tersebut dan serta merta air mataku bercucuran laju. Kini, aku sedar aku sudah lama meninggalkan dunia pada hari kiamat yang lalu dan aku bukan keseorangan di padang mahsyar ini. 

        Dihadapanku terbentang selautan manusia yang bermacam-macam reaksi wajah mereka. Ada yang berkeluh kesah, kerisauan, merungut sendirian, menangis hiba dan termenung jauh menanti apakah balasan yang akan diterima oleh diri masing-masing. Satu persatu manusia melalui titian sirat dan aku dapat melihat ada yang terjatuh ke dalam api neraka dan ada sebilangan kecil sahaja yang dapat melepasi titian tersebut. Akhirnya tibalah giliran aku melaluinya. Langkahku tidak seimbang kerana terganggu oleh godaan dan sorakan iblis laknatullah. Aku hampir goyah dan......

        Kepanasan api neraka yang begitu rakus membaham tubuh kerdilku tak terperi rasanya. Daging-dagingku hancur dimamah dan tulang-temulangku rentung. Tiba-tiba aku mengambil seketul batu dari api neraka itu dan memecahkan kepalaku sendiri. Kesakitan dan kepedihannya tidak terkata rasanya tapi aku melakukannya semula walaupun ia pulih kembali. Apabila memikirkannya betapa bodohnya aku selama ini. Mengapa? Itulah aku, seorang hamba Allah yang meninggalkan sembahyang wajib. Rambutku pula terbakar manakala tubuhku hangus rentung dibakar. Sakit..... sangat sakit! kenapa? Itulah aku seorang kaum hawa yang suka mendedahkan  aurat dan sangat bangga dikurniakan rupa paras yang menarik, bentuk tubuh yang mengancam dan rambut yang panjang serta diwarnakan. Beginilah azab yang harus ku tanggung kerana terlalu ghairah menonjolkan keistimewaan diri kepada mata-mata yang haram memandangnya. Sesungguhnya api neraka memang merindui untuk membakar wanita seperti aku.

        Kemudian lidahku menjadi panjang dan terjelir keluar lalu ia terus dipotong tetapi kembali semula panjangnya dan dipotong lagi. Mengapa? itulah aku, seorang manusia yang suka berdusta dan bercakap bohong dengan ibu bapa, guru-guru, kawan-kawan, muslimin dan muslimah yang lain bertujuan untuk mendapatkan sesuatu yang diharapkan, menabur janji palsu dan menggunakan kefasihan bercakap dari liuk lidahku untuk membuatkan orang percaya. Selepas itu, mencarik-carik kulit-kulit di badanku sendiri dan mencabut hatiku bersama isi perut sekali serta merasakan kesakitan yang tidak terperi, manakala kulit yang koyak itu bercantum kembali lalu dikoyak lagi dan begitulah seterusnya. Kenapa? itulah aku, seorang yang semasa hayat di dunia dahulu, hatiku terlalu kotor dan penuh dengan hasad dengki sehingga merosakkan hubungan kekeluargaan, persahabatan, dan sesama muslim. Aku juga suka menfitnah orang lain dan balasannya lidah dan bibirku digunting. Apabila lidahku kembali pulih, ia digunting lagi. Begitulah seterusnya.

        Setelah berjuta-juta tahun lamanya aku diazab dan disiksa di dalam neraka jahanam, kini aku dimasukkan ke syurga. Kenapa? Suatu ketika dahulu aku pernah bersedekah kepada fakir miskin tanpa mengharapkan sebarang balasan atau kepujian. Amal jariah inilah yang telah menyelamatkan aku dari terus diazab. Linangan air mataku terus mencurah bagaikan hujan yang turun tanda kesyukuran kepada Allah.

        Bantal tidurku terasa basah. Aku terjaga. Baru aku sedar rupa-rupanya aku bermimpi. Lagu Linkin Park "Somewhere I Belong" masih bergema di ruang bilikku. Dari jauh terdengar sayup-sayup azan asar berkumandang sayu. Inikah petunjuk dariMu ya Allah? Alhamdulillah. Suiz radio ku matikan. Pandangan kulontarkan jauh ke luar jendela. Kelihatan beberapa anak muda sebaya dengan aku sedang menuju ke masjid, Di tepi jalan pula, sekumpulan remaja sedang lepak sambil berbual tanpa menghiraukan azan yang berkumandang. Aku menggeleng kesal. Berapa ramai lagikah pemuda-pemudi diluar sana yang masih hidup di dalam kesesatan? Bilakah mereka akan menyedari kesilapan diri yang dilakukan selama ini.

        Satu keluhan yang berat ku lepaskan dan aku menyucikan diri dan berwudhuk untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Semoga Allah merahmati aku. Amin....

        Dari pandangan mata Allahyarhamah nenekku. Sebelum Allahyarhamah meninggal.

P/S : Kisah di atas saya ambil daripada majalah sekolah lama saya Al-Manar edisi 3 Maahad Ar-Rahmah Kenali. Semoga kisah di atas menjadi pengajaran buat kita semua. Ingatlah, kita hidup di dunia ini hanyalah untuk sementara waktu sahaja, tunaikanlah segala kewajipan yang telah di tetapkan oleh-Nya & jauhkanlah diri daripada melakukan perkara yang telah di haramkan oleh-Nya. Semoga kita mendapat kebaikan di dunia dan di akhirat sana. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...