Iklaneka

Monday, 28 November 2011

Kerana Mengharapkan Yang Halal

        Ada sebuah kisah yang menarik berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W dahulu. Pada zaman Rasul S.A.W ada seorang lelaki yang telah kematian isteri. Cuma sayang sedikit lelaki ini bukanlah seorang yang taat dan patuh pada perintah agama. Tetapi dengan kehendak Allah, pada suatu hari lelaki ini berasa insaf dan sedar. Keinsafannya itu mendorong beliau untuk bertaubat. Dia berazam tidak mahu lagi mengulangi perbuatan-perbuatannya yang jahat. Sampai waktu sembahyang dia singgah di masjid kebetulan Rasulullah S.A.W sedang bersembahyang bersama kaum muslimin yang lain. Selesai sembahyang Rasulullah S.A.W bersabda, "barang siapa meninggakan sesuatu yang haram maka ia akan memperolehi yang halal".

       Apabila tiba waktu malam si lelaki yang sudah insaf ini berasa gelisah. Dia teringatkan kerja yang biasa dilakukannya pada waktu malam iaitu mencuri. Dia berasa agak susah untuk meninggalkan kerja jahat itu. Tambahan pula syaitan tidak henti-henti menghasut dan menggodanya.

        Akhirnya dia tewas dengan hasutan syaitan. Lelaki itu menuju ke sebuah rumah yang kelihatan seperti dimiliki oleh seorang yang berada. Rupa-rupanya tuan rumah tersebut ialah seorang wanita yang sudah kematian suami. Sampai di dalam rumah lelaki itu melihat hidangan yang enak dan lazat sedang terhidang di atas meja. Hidangan itu membangkitkan seleranya. Baru sahaja mahu menjamah rezeki yang terhidang, tiba-tiba dia teringat akan pesan Rasulullah S.A.W di masjid siang tadi. Dengan serta merta dia tidak jadi mengambil makanan itu.

        Di suatu sudut rumah, lelaki itu menemui barang berharga, lalu terdetik di hatinya untuk mengambil barang-barang itu. Ketika hendak mengambil barang-barang itu terlintas diingatannya akan sabda Rasulullah S.A.W dengan segera ditinggalkannya harta-harta itu. Ketika hendak melangkah keluar lelaki itu melihat seorang wanita sedang duduk bersendirian dalam biliknya. Timbul niat jahat di dalam hatinya tetapi seperti tadi juga dia teringatkan pesan Rasulullah S.A.W cepat-cepat dia meninggalkan rumah itu. Disebabkan hari sudah hampir subuh dia terus ke masjid untuk bersembahyang. Kemudian lelaki itu duduk di suatu sudut di masjid memikirkan nasib dirinya.

        Apabila hari semakin cerah, datanglah seorang wanita menemui Rasulullah S.A.W yang masih ada dalam masjid dia memberitahu nabi seorang pencuri mamasuki rumahnya, tetapi yang anehnya dia tidak ambil apa-apapun di dalam rumahnya.

        "Aku takut kalau pencuri itu datang lagi wahai Rasulullah", kata wanita itu. Mungkin dia akan melakukan sesuatu ke atas ku. "Kenapa engkau hidup bersendirian,? tanya Rasulullah, " demi untuk menyelesaikan masalah mu ini bagaimana kalau akau kahwinkan engkau,?"tanya nabi, wanita itu kemudiannya bersetuju.

        Rasulullah meninjau-ninjau di dalam masjid. Terlihatlah olehnya seorang lelaki yang mengasingkan diri di penjuru masjid. Baginda pun memanggil lelaki tersebut. Setelah bertanyakan tentang diri dan latar belakang kehidupan lelaki itu baginda berkenan untuk menjodohkannya dengan wanita itu.

        Akhirnya setelah selesai semua urusan yang berkaitan pasangan itu pun dinikahkan oleh baginda Rasulullah S.A.W. Sebelum pulang lelaki itu menangis di hadapan Rasulullah. Dia menceritakan kisah yang sebenarnya dia berasa sungguh terharu kerana apa yang di pesan oleh Rasulullah, "Barang siapa yang meninggalkan yang haram akan memperolehi yang halal", memang benar sekali, sekarang yang diingininya malam tadi akan dapat dimiliki secara halal.

        Demikianlah.......kalau kita berbuat baik, Allah pasti akan membalas dengan kebaikan juga.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...