Permata adalah sesuatu yang amat bernilai. Permata adalah hasil tekanan yang tinggi dikenakan pada karbon. Tekanan yang tinggi itu akhirnya menghasilkan permata yang berkilau dan cantik.
Siapa yang tidak mahu memiliki permata? Seorang wanita pasti mengidamkan dirinya dihiasi oleh permata yang berkilauan. Seorang lelaki pasti bercita-cita menghadiahkan sebentuk permata kepada seseorang yang dikasihinya.
Permata adalah salah satu daripada nikmat kekayaan yang telah diberikan Allah kepada manusia. Nikmat yang mana ia mampu mengeratkan kasih sayang sesama manusia malahan ia juga mampu menjadi bala yang menyebabkan pergaduhan sesama manusia.
Dalam diri manusia juga terdapat satu benda yang nilaiannya seperti permata. Iaitu hati. Kerana seorang yang hatinya tenang, cekal dan kuat merupakan individu yang telah diuji melalui pelbagai ujian yang menekan sehingga hatinya berkilau umpama permata yang bergemerlapan.
Hati yang tenang ini adalah umpama permata yang berkilau dalam diri manusia. Ia bukan sahaja membahagiakan si pemiliknya, malahan orang lain juga akan kagum kepadannya.
Saidina Abu Bakr AsSiddiq adalah insan yang memiliki ketenangan yang tiada tolok bandingnya. Ketenangan dan ketulusan hatinya telah terbukti sepanjang hidupnya dengan Baginda junjungan saw. Beliau masih mampu bertenang di saat wafatnya Baginda saw malah berupaya untuk menenangkan orang lain agar menerima hakikat sesungguhnya Baginda saw telah pergi menemui Allah swt.
Hari ini ramai manusia telah kehilangan permata didalam dirinya. Manusia akhir zaman ini sudah kehilangan apa yang dinamakan ketenangan hati. Ketenangan hati ini adalah antara nikmat Allah swt yang diberikan kepada hambaNya yang soleh.
Seorang yang sakit perut, nikmatnya adalah selepas proses penyahtinjaan.
Seorang yang sakit gigi, nikmatnya adalah selepas gigi yang rosak itu dicabut atau ditampal.
Seorang yang sakit jiwanya, nikmatnya adalah selepas dicampakkan ketenangan didalam hatinya semula.
Ramai manusia bergelar bilionaire. Bergelar jutawan. Bergelar pemimpin agung. Bergelar intelektual. Bergelar cendekiawan. Bergelar negarawan dan pelbagai lagi gelaran-gelaran duniawi. Tetapi berapa ramai yang mempunyai gelaran-gelaran ini mempunyai ketenangan hati?
Leslie Cheung, seorang artis yang sudah terkenal, mati bunuh diri. Bob Marley, juga mengakhiri hidup yang penuh populariti dengan kematian yang tragis. Mariah Carey, dilaporkan sudah beberapa kali mengunjungi klinik psikiatri. Maradona, hancur karier bolasepaknya kerana dadah. Hitler, juga mengakhiri hidupnya dengan membunuh diri. Ini adalah sebahagian contoh kehidupan yang ramai diantara manusia kejar dan impikan. Populariti, kekayaan dan kuasa.
Cat Stevens atau Yusuf Islam, sebelum menerima hidayah dari Allah yang mana beliau menemui ketenangan, juga hidup dalam keadaan yang tertekan dengan ketagihan alkohol. Namun, dengan jiwa barunya, dihiasi dengan ketenangan iman, beliau telah memulakan hidup baru sebagai seorang pendakwah.
Mari kita fikirkan kembali adakah kita ini sudah memiliki permata itu? Sudahkah kita menjadi insan yang masih mampu tersenyum tatkala 1001 kesusahan melanda kehidupan diri kita?
Atau adakah kita ini masih tergolong didalam golongan yang dikurniakan populariti, kedudukan dan harta, tetapi masih berterusan hidup dalam tekanan?
Kita barangkali pernah melihat seseorang yang berkuasa dan kaya raya, mempunyai mahligai yang besar, tetapi sering menghabiskan masa malam mereka di kelab-kelab malam, memabukkan diri demi untuk mencari satu benda yang dinamakan ketenangan diri.
Kita juga barangkali pernah mendengar kisah seorang bijaksana, tetapi berdampingan dengan dadah juga demi untuk mencari ketenangan yang hilang kerana tekanan pembelajaran.
Dan yang paling selalu didengar adalah dialog-dialog,
"Aku hisap rokok ni bukan ape, tension! Bila aku hisap sebatang dua, hilang sekejap tension aku."
"Aku dengar muzik-muzik ni semua sebab nak release tension. Aku rasa terhibur so, aku boleh lupakan masalah aku."
Allah berfirman,
"Dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang."
Apakah yang dikatakan zikruLlah (mengingati Allah) itu? Tuan Guru Nik Ab Aziz mengatakan zikir terbaik itu adalah al-Quran. Maka berdampinglah dengan al-Quran kerana ia sudah pasti akan memberikan ketenangan jiwa.
Al-Quran yang dibaca, akan membawa ketenangan kepada pembacanya. Tetapi al-Quran yang diamalkan isinya, ia akan membawa ketenangan ke seluruh alam. Tetapi umat Islam sendiri hari ini tidak mengamalkan isi al-Quran menyebabkan umat Islam seluruhnya telah kehilangan ketenangan dalam hidup seharian.
Malah, ada banyak lagi cara untuk menenangkan hati. Prinsip asasnya mudah. Setiap sesuatu itu mesti menjurus ke arah mengingati Allah. Umpamanya melihat tumbuhan menghijau, aliran sungai, langit yang biru, burung-burung berterbangan dan sebagainya yang mana itu semua menunjukkan kehebatan Allah swt.
Kaedah ini juga diguna pakai oleh ahli psikologi bagi memudahkan seseorang tidur. Dengan memberikan panduan agar mereka yang menderita imsonia itu melelapkan mata sambil membayangkan taman yang indah, ada rama-rama yang berterbangan, bunga-bunga yang menyegarkan kerana perkara-perkara yang menunjukkan kebesaran Allah itu semuanya menjurus kepada ketenangan hati.
Allah berfirman, "Wahai jiwa-jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati
(dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhai (disisi Tuhanmu), serta masuklah engkau ke dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia dan masuklah ke dalam syurgaKu. (al-Fajr, 27-30)
Manusia yang mempunyai jiwa yang tenang maka syurga adalah tempat mereka. Dan pra-syarat mereka yang ingin mempunyai jiwa yang tenang ini adalah iman serta amal soleh mereka.
Ketenangan hati inilah yang sudah tiada dalam kebanyakan manusia. Kita sering menyangka kekayaan, kuasa dan populariti itu lah yang bakal membahagiakan hidup kita didunia. Tetapi, jangankan akhirat, sejak didunia lagi, kekayaan, kuasa, dan populariti itulah yang telah menghilangkan rasa bahagia kita sekiranya ia tidak didasari dengan dasar iman dan taqwa.
Maka ingatlah, seseorang yang telah dikurniakan hati yang tenang pasti menerima segala takdir baik dan buruk yang ditimpakan keatasnya, kerana mereka yakin dan percaya akan firman Allah,
"Oleh itu, maka sesungguhnya tiap-tiap kesusahan itu ada kemudahan dan sesungguhnya setiap kemudahan itu ada kesusahan." (al-Insyirah: 5-6)
No comments:
Post a Comment